mutakhir

Menteri nak jumpa keluarga Irfan [METROTV]

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad akan bertemu keluarga kepada kanak-kanak 12 tahun yang menghidap myokymia di Pasir Gudang, Johor, dalam tempoh terdekat.

Dzulkefly berkata, beliau memahami kebimbangan ibu bapa Irfan Wafiy Idham Wazir dan bersedia memberikan penjelasan serta memastikan kanak-kanak itu dirawat oleh pakar.

“Saya sendiri akan mengadakan perjumpaan dengan keluarga Irfan Wafiy dalam tempoh terdekat. Minggu lalu saya ke Pasir Gudang tetapi tidak berkesempatan untuk menziarah.

“Saya ingin tegaskan dalam hal ini saya tahu betapa khuatir ibu bapa Irfan tetapi pada waktu sama saya akan ambil penuh tanggungjawab untuk memastikan ibu bapanya diberikan penjelasan yang sebaiknya.

“Selain itu, Irfan Wafiy akan dirawat pakar pediatrik dan neurologi untuk kenal pasti (penyakit),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Port Dickson di Pantai Saujana di Port Dickson, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zainudin Mohd Ali.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, myokymia berlaku tidak semestinya disebabkan oleh bahan kimia dan akan memastikan pakar menjelaskan dengan sebaik mungkin mengenai penyakit itu kepada ibu bapa Irfan Wafiy.

“Saya yakin perkara ini mampu kita urus dengan baik walaupun saya tahu kekhuatiran ibu bapa Irfan Wafiy,” katanya.

Apabila diminta mengulas sama ada penyakit itu berpunca daripada pencemaran yang berlaku, beliau berkata, setakat ini belum dapat dipastikan dengan lebih teliti dan sedang melihat sejarah perubatan kanak-kanak itu.

“Ini adalah rekod perubatan dan sejarah pesakit yang kita tidak boleh dedahkan kerana etika perubatan tetapi pakar akan terangkan dengan lebih baik,” katanya.

Apabila ditanya adakah penyakit itu berkemungkinan berpunca daripada pencemaran bahan kimia, beliau berkata pihaknya tidak boleh meramalkannya.

“Kita tidak tahu lagi punca myokymia ini dan kali ini saya tegaskan myokymia bukan kerana cetusan bahan kimia kerana kita dapati dalam darah beliau semuanya negatif pada ketika itu, manakala punca dan sebab belum dapat diterangkan lagi,” katanya.

Irfan Wafiy disahkan menghidap penyakit myokimia dipercayai selepas terdedah dengan pencemaran toksik dari Sungai Kim Kim, Mac lalu.

Bapa Ifran Wafiy, Idham Wazir A Wahab, 49, turut mempersoalkan keseriusan Kementerian Kesihatan merawat anaknya apabila menetapkan temujanji untuk rawatan fisioterapi Irfan Wafiy pada bulan hadapan.

Berita berkaitan

Irfan tiada sejarah penyakit

[UPDATE] KKM mulakan siasatan

Derita Irfan kerana toksik Sungai Kim-Kim [METROTV]

Disiarkan pada: July 6, 2019 @ 1:30pm
d