mutakhir

Dendam sang belalai

Oleh Adnan Ibrahim

BAGAIKAN balas dendam! Itu tindakan dua ekor gajah yang merosakkan rumah penduduk di Kampung Sri Timur, di Kluang, dalam kejadian 1 pagi hari ini.

Akibat kejadian itu, Afian Kamin, 36, bersama empat ahli keluarganya berdepan detik cemas dan terpaksa menyembunyikan diri selain memerhatikan haiwan itu merosakkan pelbagai barangan di luar rumah mereka.

Katanya, kejadian disedari apabila seorang daripada mereka mendengar bunyi bising di luar rumah sebelum satu benda berat memijak atap zink lama yang berada di bahagian dapur rumah.

“Saya kemudiannya melihat dari celah tingkap dan ternampak dua ekor gajah berada betul-betul di luar rumah dan ketika itu, garaj kereta sudah roboh dan tiangnya pula menghempap kereta.

“Ketika itu, isteri, ibu mentua dan dua anak saya turut bangun dan kami semua ketakutan kerana risau gajah berkenaan mengamuk hingga mengancam nyawa kami,” katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

Menurut Afian, mereka sekeluarga bernasib baik apabila gajah itu beredar selepas merosakkan garaj kereta, tanaman di halaman rumah, pokok kelapa dan kelapa sawit.

Katanya, selepas memastikan gajah sudah beredar, dia pergi ke Balai Polis Kampung Gajah untuk membuat laporan termasuk kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kluang.

“Ini adalah kali pertama rumah saya diserang gajah selepas hampir 12 tahun menetap di sini.

“Walaupun kampung ini sering di datangi gajah liar sebelum ini, namun ia tidak pernah merosakkan rumah penduduk.

“Minggu lalu, ada gajah datang berhampiran rumah saya tetapi kerosakannya tidak seteruk pagi tadi dan gajah-gajah ini kebiasaannya akan datang pada musim buah seperti durian,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Johor, Salman Saaban berkata, mengarahkan kakitangan Jabatan Perhilitan Kluang untuk ke lokasi bagi memantau dan mengawal keadaan.

Pada 4 Jun lalu, tiga ekor gajah ditemui mati dipercayai diracun di kampung ini.

Disiarkan pada: July 6, 2019 @ 4:40pm
d