mutakhir

Jika diperlukan, Lokman akan dipanggil - Polis

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

POLIS akan membuka kertas siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 susulan perhimpunan anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Sekretariat Suara Rakyat di pusat beli belah Sogo di Kuala Lumpur, yang tidak mendapat kebenaran.

Perhimpunan itu diketuai Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat, Datuk Lokman Noor Adam yang mendesak Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meletak jawatan susulan penyebaran video lucah dikaitkan dengan menteri itu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visunathan Abdullah berkata, penganjur tidak memberi sebarang notis kepada polis berhubung perhimpunan yang diadakan hari ini.

Menurutnya, sehubungan itu, polis akan membuka kertas siasatan berkaitan perhimpunan terbabit.

“Jika memerlukan beliau (Lokman) dipanggil, kita akan memintanya hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wang untuk memberi keterangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Lokman sebelum itu memberi ceramah berkaitan isu video lucah dikaitkan dengan Mohamed Azmin yang meminta polis menjalankan siasatan dan mendesak menteri terbabit meletak jawatan, selain menyentuh isu lain berkaitan kerajaan.

Perhimpunan selama setengah jam itu berlangsung dalam keadaan aman sebelum Lokman bersama pengikutnya bersurai sekitar 6 petang.

Seramai enam pegawai dan 34 anggota termasuk petugas trafik ditugaskan di lokasi himpunan bagi mengawal dan mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Disiarkan pada: July 6, 2019 @ 8:47pm
d