mutakhir

Kanak-kanak derita kanser teruja lawat zoo

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

HAJAT kanak-kanak yang menderita penyakit ‘Langerhan Cell Histiocytosis’ (LCH), untuk melihat haiwan di Zoo Taiping tercapai hari ini.

Keinginan Anas Mikail Abdullah, 3, itu dipenuhi Pusat Khidmat Parlimen Bagan Serai dengan kerjasama Persatuan Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN).

Anas Mikail menghidap LCH, iaitu kanser yang jarang berlaku membabitkan percambahan pada sel ‘Langerhans’, sel abnormal dari tulang sum-sum dan mampu berpindah dari kulit ke nodus limfa.

Ketika berpeluang melawat Zoo Taiping, riak wajah Anas Mikail yang datang ke situ bersama nenek dan ibu saudaranya tampak gembira, biarpun dalam keadaan kurang sihat dan tidak bermaya.

Menurut neneknya, Faridah Wan Chik, 48, seawal pagi hari ini, Anas begitu teruja untuk mengunjungi Zoo Taiping untuk melihat binatang, khususnya gajah.

“Pagi tadi dia beritahu tak sabar nak tengok gajah dan alhamdulillah hasratnya ditunaikan hari ini.

“Dia nampak teruja sejurus melihat gajah dan turut sempat memberi makan kepada zirafah,” katanya ketika ditemui hari ini.

Pengarah Operasi Parlimen Bagan Serai, Haizulilail Mohamad berkata, selepas pihaknya mendapat tahu mengenai penderitaan Anas Mikail sumbangan kerusi roda, lampin pakai buang dan bantuan wang tunai juga sudah diberikan.

“Apabila mengetahui hajat anak ini untuk melihat binatang di Zoo Taiping, kami berusaha membawanya ke sini dan segala kos ditanggung sepenuhnya oleh Parlimen Bagan Serai,” katanya.

Sementara itu, Presiden FOCCAN, Maznah Tayib berkata, pihaknya sentiasa peka dengan nasib kanak-kanak yang menghidap kanser dan sedaya upaya membantu dan menunaikan hajat mereka.

“Selain Anas Mikail, terdapat lima lagi kanak-kanak yang senasib dengannya dan kami akan cuba menunaikan hajat terakhir mereka.

“Di wilayah utara, dianggarkan lebih 300 kanak-kanak penghidap kanser direkodkan dan tahun ini dianggarkan hampir 15 kanak-kanak berkenaan meninggal dunia,” katanya.

Disiarkan pada: July 6, 2019 @ 10:05pm
d