mutakhir

Pertimbang industri kemahiran

Oleh Muhamaad Razis Ismail

KOTA BHARU: Pelajar dinasihatkan turut mempertimbangkan untuk melanjutkan pelajaran di kolej kemahiran bagi memenuhi keperluan sektor industri.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, kini industri sedia ada lebih memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi tinggi yang memerlukan pekerja berkemahiran.

“Industri sekarang tidak hanya tertumpu kepada tenaga buruh semata-mata, tetapi lebih kepada teknologi tinggi dengan pekerjaan yang ditawarkan berasaskan kemahiran dan kelayakan.

“Industri kini lebih berorientasikan kepada pekerja berkemahiran dan kompeten. Berikutan itu saya berharap lepasan sekolah mempertimbang melanjutkan pelajaran di kolej kemahiran, tidak hanya tertumpu dalam bidang akademik di institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Program Karnival Kerjaya JobsMalaysia 2019 Kelantan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kelantan di sini, semalam.

Program berkenaan anjuran Kementerian Sumber Manusia menerusi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JobsMalaysia).

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan) Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Paeza Rosdi dan Pengarah Tenaga Kerja Kelantan, Rosli Omar.

Mengulas mengenai Karnival Kerjaya JobsMalaysia 2019, Mahfuz berkata, program itu dijalankan di 10 Pusat Transformasi Bandar (UTC) beberapa negeri dan empat lokasi terpilih secara serentak membabitkan penyertaan 350 majikan menawarkan 20,000 kekosongan jawatan.

“Sebanyak 2,084 kekosongan jawatan ditawarkan di Kelantan, jumlah itu lebih tinggi berbanding 1,592 sebelum ini.

“Jawatan ditawarkan membabitkan sektor pembuatan dan perkhidmatan mengikut kelayakan seperti Sijil Kemahiran Malaysia, diploma serta ijazah,” katanya.

Disiarkan pada: July 7, 2019 @ 8:29am
d