mutakhir

Sindiket judi See Ngo Lak tumpas

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

POLIS menumpaskan sindiket penganjur judi pasar malam (judi See Ngo Lak) yang dipercayai aktif sejak sebulan lalu dengan menyasarkan warga asing di tapak pembinaan.

Dalam dua serbuan berasingan antara 1 hingga 3 pagi tadi, seramai 23 individu termasuk penganjur dan pemain judi ditahan di rumah setinggan dan pondok kecil dalam tapak pembinaan di sekitar Pasir Gudang dan Masai.

Pegawai Turus Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Deputi Superintendan Mohd Zairi Badderul berkata, seramai sebelas orang berusia antara 19 hingga 36 tahun ditahan dalam serbuan pertama di rumah setinggan, Jalan Lampam 7, Pasir Gudang.

Katanya, ia termasuk seorang lelaki selaku penganjur, dua warga asing masing-masing lelaki dan wanita yang juga pembantu kepada penganjur serta lapan ‘kaki judi’.

“Dalam serbuan ini, kita merampas papan bola golek, sekeping kanvas putih yang tertera angka, sekeping kanvas tertera bentuk, tiga bola getah, dua piring kaca dan semangkuk kaca.

“Sembilan dadu, empat kaki getah merah, dua beg silang, satu penimbang air penyukat, satu beg plastik dan wang tunai RM2,322,” katanya.

Dalam serbuan kedua di sebuah pondok kecil dalam tapak pembinaan di Jalan Kota Masai seramai 12 individu ditahan termasuk penganjurnya.

“Seorang penganjur lelaki, dua pembantu masing-masing lelaki tempatan dan wanita warga asing serta sembilan pemain judi tempatan dan warga asing ditahan.

“Mereka berusia antara 24 hingga 58 tahun dan pelbagai rampasan dibuat antaranya satu meja empat segi, satu kain kanvas tercetak angka, satu kerusi kayu panjang dan tiga kerusi kayu empat segi.

“Turut dirampas satu mangkuk kecil, satu piring kecil, satu generator, satu mentol lampu, dua baldi kecil dan wang tunai RM20,544,” katanya.

Beliau berkata, hasil maklumat awal mendapati, sindiket itu dipercayai menganjurkan aktiviti judi di beberapa kawasan sekitar Seri Alam.

Katanya, sindiket itu menyasarkan pekerja warga asing di tapak pembinaan dipercayai bagi pekerja terbabit mengisi masa lapang.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/63.

Disiarkan pada: July 7, 2019 @ 12:11pm
d