mutakhir

Bunyi hon selamatkan dua lelaki

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

TINDAKAN beberapa kenderaan membunyikan hon menyelamatkan dua lelaki yang tidak menyedari lori dinaiki terbakar di Kilometer 270.7 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, Mohammad Fadzil Shaidin, 49, dan menantunya, Hamzah Abu Samah, 29, sempat keluar dari kenderaan itu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Md Munawir Md Yusof berkata, seramai lapan anggota ke lokasi sejurus menerima panggilan kejadian.

“Sebaik tiba, api marak dan bomba segera mengambil tindakan memadamkan kebakaran. Api berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam masa 12 minit.

“Sebanyak 39 tong polisterin yang diletakkan di belakang lori musnah. Kenderaan dianggarkan 80 peratus terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Md Munawir berkata, sebelum kejadian mangsa dalam perjalanan dari Johor ke Puchong, Selangor, untuk mengambil bekalan minuman susu dan air mineral.

Bagaimanapun, katanya, ketika dalam perjalanan itu, mereka terdengar bunyi hon menyebabkan Mohammad Fadzil yang memandu lori melihat melalui cermin sisi.

“Dia terkejut apabila melihat asap tebal di belakang lori lalu memberhentikan kenderaan itu sebelum menyelamatkan diri,” katanya.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.

Disiarkan pada: July 7, 2019 @ 2:07pm
d