mutakhir

Tolong bantu Ahmad Urwah

Oleh Nur Izzati Mohamad

DILAHIRKAN sempurna namun siapa sangka tiba-tiba kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ini pekak kedua-dua telinganya dan tidak mampu kemampuan mendengar.

Ahmad Urwah Amin Ahmad Lufti Amir dikesan menghadapi masalah pendengaran pada tahun lalu apabila reaksi yang diberikan kepada ahli keluarganya ketika bermain didapati lambat.

Neneknya, Endon Rashid, 62, berkata, dia dan suami, Awiskarni Zulkarnain, 65, menjaga Ahmad Urwah dan adik perempuannya berusia dua tahun apabila anaknya, Asma Aainaa Awiskarni, 32 serta menantu, Ahmad Lutfi Amir Soid, 33, bekerja.

“Pada tahun lalu kami mengesan masalah yang dihadapi Ahmad Urwah ketika bermain dengannya.

“Ahmad Urwah yang sebelum ini mampu menyebut beberapa perkataan dengan jelas tiba-tiba saja berubah bahkan lambat bertindak balas apabila saya dan suami bercakap dengannya,” katanya ketika ditemui di pejabat One Hope Charity and Welfare Berhad di Bukit Mertajam, hari ini.

Endon berkata, cucunya kemudian dibawa untuk pemeriksaan dan doktor memaklumkan bahawa reaksi terhadap bunyi tidak kuat berikutan masalah saraf di kanan otak yang memerlukan pembedahan implan koklea buatan membabitkan kos RM200,000.

Bagaimanapun, keluarga yang menetap di Pokok Sena, Kepala Batas itu hanya mampu menyediakan kos sekitar RM100,000 dan selebihnya mengharapkan bantuan masyarakat Malaysia yang prihatin.

Endon berkata, Ahmad Urwah kini bergantung dengan alat pendengaran tetapi ia masih tidak mampu mendengar dengan baik hingga dia dan suami perlu menggunakan isyarat tangan.

“Untuk memberitahu atau bercakap dengan Ahmad Urwah, saya dan suami akan menepuk perlahan anggota badannya.

“Saya sedih melihat keadaannya seperti ini dan berharap dia dapat kembali sembuh seperti biasa tambahan pula dia akan ke tadika tahun depan,” katanya.

Nasib keluarga Ahmad Urwah mendapat perhatian Pertubuhan One Hope Charity and Welfare Berhad yang bersedia membantu mengumpul kos pembedahan kanak-kanak itu,

Pengerusinya, Chua Sui Hau berkata, buat permulaan pihaknya menyampaikan RM10,000 sebagai wang pendahuluan bagi membolehkan kanak-kanak itu menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta dalam masa terdekat.

“Kita dimaklumkan bahawa kos pembedahan menelan perbelanjaan sekitar RM200,000 namun keluarganya hanya mempunyai RM100,000 manakala selebihnya memerlukan bantuan mereka yang prihatin.

“Masa untuk Ahmad Urwah agak suntuk dan kanak-kanak ini perlu dibedah dengan segera hingga menyebabkan keluarganya buntu mencukupkan kos pembedahan ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menyumbang ke akaun Public Bank Berhad One Hope Charity and Welfare Berhad bernombor 3193433435 atau menghubungi mereka di talian 016-4192192 atau 04-5059800.

Disiarkan pada: July 7, 2019 @ 3:04pm
d