mutakhir

'Polis SWAT' ugut sebar video lucah

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

SEORANG lelaki yang dikehendaki berhubung kes ugut menyebar video lucah ditahan polis di sebuah bilik hotel di Simpang Empat Salam, Rantau Panjang.

Lelaki berusia 38 tahun itu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7, jam 5 petang, semalam.

Komandan PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, penahanan lelaki itu hasil risikan dan maklumat orang awam.

Katanya, polis turut merampas sepucuk pistol tiruan bernilai RM600, kelopak peluru tiruan, beg galas dan empat telefon bimbit.

“Susulan penahanan ini, polis membawa lelaki terbabit ke rumahnya di Kampung Panchor, Kota Bharu.

“Selain pistol tiruan, kelopak peluru dan telefon bimbit, polis turut menemui beberapa barangan lain seperti beg silang bertulis SWAT dan walkie talkie.

Katanya, siasatan lanjut mendapati, pistol tiruan dibeli di Thailand itu digunakan suspek untuk menyamar sebagai anggota polis.

“Pada masa sama, suspek juga dikehendaki polis berhubung ugutan menyebar video lucah di Kota Bharu dan turut mempunyai lima rekod jenayah lampau,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

Azhari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 385 akta sama.

Disiarkan pada: July 7, 2019 @ 4:13pm
d