mutakhir

Dua sahabat ajal bersama

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

DUA sahabat maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggang mereka merempuh belakang Perodua Myvi sebelum terbabas melanggar pokok hiasan di tengah pembahagi jalan di Kilometer 5, Jalan Gopeng-Batu Gajah, Kampar, hari ini.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, mangsa yang maut adalah penunggang, C Adwin Chandran dan pembonceng, Muhammad Nabil Ikhwan Ibrahim, masing-masing berusia 17 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, siasatan awal polis mendapati motosikal Harley Davidson dinaiki kedua-kedua mangsa dan Perodua Myvi dipandu seorang lelaki berusia 61 tahun dari arah sama iaitu Gopeng ke Batu Gajah.

“Sampai di lokasi kejadian, kedua-dua mangsa dipercayai merempuh belakang sebelah kanan Perodua Myvi sebelum terbabas dan melanggar pokok hiasan pembahagi jalan.

“Akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat mereka dibawa ke Unit Forensik Hospital Kampar untuk bedah siasat,” katanya.

Zakaria berkata, pemandu serta dua penumpang Perodua Myvi tidak cedera.

Katanya, polis sudah memaklumkan kejadian itu kepada keluarga mangsa dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: July 7, 2019 @ 9:57pm
d