mutakhir

Semangat perpaduan perlu bermula dari sekolah

Oleh Ibrahim Isa

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah sistem pendidikan berperanan penting dalam mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini.

Titahnya, semangat perpaduan perlu bermula dari sekolah seiring usaha memupuk nilai-nilai keharmonian antara kaum, disamping memberi penekanan kepada subjek Sejarah untuk mengukuhkan jati diri rakyat.

“Sistem pendidikan adalah medium penting sebagai pemangkin perpaduan kaum di negara ini,” titahnya dalam temu bual eksklusif bersama Royal Press Office (RPO), semalam.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, di sini.

Pertemuan bersama Sultan Johor berlangsung lebih sejam dan Dr Maszlee turut mendapatkan pandangan Sultan Johor berhubung hala tuju serta sistem pendidikan negara.

Sultan Johor bertitah, betapa pentingnya menguasai bahasa Inggeris dalam kalangan murid dan pelajar sekolah tanpa mengetepikan bahasa Melayu.

“Begitu juga cadangan bahasa Mandarin dan Tamil boleh dipelajari bersama-sama dan menjadi kelebihan dalam penguasaan bahasa.

“Kemahiran menguasai pelbagai bahasa bukan sahaja suatu perkara baik, malah dapat mengeratkan hubungan antara kaum,” titahnya.

Disiarkan pada: July 8, 2019 @ 6:15am
d