mutakhir

Remaja, teman lelaki direman enam hari

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi dan Farah Suhaidah Othman

REMAJA perempuan 14 tahun dan teman lelakinya direman enam hari sehingga Sabtu, bagi membantu siasatan kes bunuh abang remaja itu di Taman Glenview, Kamunting, Taiping, semalam.

Dia dan teman lelaki berusia 15 tahun, ditahan di rumah masing-masing semalam, dan dibawa ke Mahkamah Majistret Taiping pada 8.30 pagi hari ini.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Nurul Hidayah Ismail mengeluarkan perintah tahanan reman untuk membolehkan kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, jenazah mangsa sudah dituntut ahli keluarganya sebaik bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, selesai pada 10.30 malam semalam.

Sumber forensik berkata, punca kematian disebabkan pendarahan berlebihan akibat tikaman di leher.

Bagaimanapun, ahli keluarga mangsa yang masih bersedih dengan kejadian itu enggan ditemubual.

Semalam, mayat remaja lelaki 16 tahun ditemui di belakang rumah kosong bersebelahan rumahnya di Taman Glenview, Kamunting, Taiping pada 12.18 tengah hari.

Mayat ditemui dengan kesan kelar pada leher dan kedua-dua pergelangan tangan.

Berita berkaitan

'Remaja perempuan disyaki bunuh abang'

[UPDATE] Kelar leher, serkup kepala abang

Disiarkan pada: July 8, 2019 @ 11:21am
d