mutakhir

'Tidak perlu lagi percayakan berita palsu'

Oleh Mohd Sabran Md Sani

“KITA terima laporan dan dengan penafian itu, maka (masyarakat) tidak perlu lagi percayakan berita palsu,” kata Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Beliau mengesahkan menerima laporan polis dibuat peniaga yang menafikan isterinya meninggal dunia akibat pencemaran udara di Pasir Gudang seperti ditularkan di media sosial.

Katanya, laporan itu diterima pada 6.59 petang semalam dan kini disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Mohd Khalil berkata, pihaknya melakukan siasatan menyeluruh dan mengesan pihak yang menyebarkan maklumat palsu mengaitkan kematian isteri peniaga berkenaan dengan pencemaran.

“Dalam kejadian ini, bukan dia (pengadu) yang menyebarkan berita palsu dan dia juga buat penafian, (maka) kita akan tengok (lihat) serta siasat kes ini.

“Faktanya ialah jika kita polis tidak isytiharkan (kematian) atau pihak Jabatan Kesihatan negeri (juga) tidak isytiharkan, mengapa orang (senang) nak percaya (berita tular)?

“Undang-undang ada dan kita akan siasat menyeluruh,” katanya ditemui pada perasmian MES Pegawai Rendah Polis (PRP) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Beliau juga menegur masyarakat supaya tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat tidak sahih dan sebarang sebaran perlu mendapat pengesahan pihak berwajib.

Katanya, krisis pencemaran udara di Pasir Gudang sedang ditangani dengan bersungguh oleh kerajaan dan tidak wajar dicemari dengan penyebaran berita palsu.

“Kerajaan dan jabatan kerajaan yang terbabit sudah pun berusaha dan kita (polis) sama-sama membantu menguruskan sejak hari pertama lagi (kejadian pencemaran).

“Saya amat sedih kepada mereka yang buat berita palsu ini kerana pada saya, ia adalah ‘penyakit otak’ dan kita akan ambil tindakan,” katanya.

Terdahulu, tular di Facebook mendakwa Marini Kasman, 38, korban pertama pencemaran Sungai Kim-Kim pada Mac lalu.

Bagaimanapun, suaminya A Bakar Abd Rahman, 47, menafikan kematian isterinya, kelmarin berpunca daripada kejadian itu sebaliknya, disahkan doktor akibat kegagalan fungsi jantung.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Disiarkan pada: July 8, 2019 @ 12:32pm
d