mutakhir

'Enam bulan dijangka selesai' - Adly [METROTV]

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

KERAJAAN Melaka sedia mengeluarkan pendahuluan RM10 juta untuk membaiki sistem baraj di muara Sungai Melaka sementara menunggu permohonan itu diluluskan kerajaan pusat.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata, jika usaha itu berjalan lancar sebahagian masalah banjir di negeri itu terutama di lokasi kerap berlaku banjir di hulu sungai dapat diatasi dalam tempoh enam bulan lagi.

“Sekarang ini, kita sedang mencari sumber kewangan RM10 juta untuk membaiki baraj di Sungai Melaka dan kita yakin boleh dahulukan peruntukan melalui kerjasama dengan agensi kerajaan negeri.

“Banyak kawasan banjir di hulu sungai ini berpunca dari pembangunan di Sungai Melaka kerana baraj tak dapat berfungsi sepenuhnya.

“Memang menjadi keutamaan kita untuk selesaikan baraj pada tahun ini walaupun ia membabitkan peruntukan besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam di Alor Gajah hari ini.

Beliau mengiringi Yang Dipertua Negeri Tun Dr Mohd Khalil Yaakob yang melawat mangsa banjir di daerah itu.

Jun lalu, kerajaan negeri memohon peruntukan daripada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli bagi melaksanakan pembaikan tiga pintu kawalan air baraj muara Sungai Melaka yang menelan kos sekitar RM10 juta.

Pembaikan segera tiga pintu baraj berkenaan penting bagi memastikan hujan dapat disalurkan ke laut dengan lancar bagi mengelak banjir kilat khususnya di kawasan bandar.

Mengulas lanjut, Adly yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal berkata, untuk perancangan jangka panjang, kerajaan negeri akan mencari lokasi sesuai untuk memindahkan penduduk di kawasan terlalu rendah menyebabkan mereka sering menjadi mangsa banjir.

“Kalau kita lihat, ada sebahagian penduduk ini tinggal di kawasan yang terlalu rendah sehingga sama parasnya dengan kawasan takungan air.

“Sebab itu, kawasan ini kita kena lihat balik khususnya di Belimbing Dalam yang mana 70 peratus penduduknya ditenggelami banjir,” katanya.

Berita berkaitan

8 beranak berumah dalam lori

Sesi persekolahan tangguh akibat banjir [METROTV]

Tamatkan derita kami

Mangsa banjir meningkat 1,096 orang [METROTV]

Disiarkan pada: July 8, 2019 @ 3:47pm
d