mutakhir

Ditekan minta percepat pinjaman KWAP - Saksi

Oleh Murni Wan Omar

SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa dia ditekan pelbagai pihak untuk segera menyiapkan Memorandum Jemaah Menteri (MJM) berhubung jaminan kerajaan membabitkan pinjaman RM2 bilion kepada SRC International Sdn Bhd.

Saksi ke-43 itu memberi keterangan dalam prosiding perbicaraan kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Setiausaha Bahagian, Pengurusan Pinjaman Pasaran Kewangan dan Aktuari, Kementerian Kewangan Malaysia, Datuk Maliami Hamad berkata, beliau menerima tekanan supaya MJM itu disediakan segera bagi membolehkan ia dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Ogos 2011.

“Masa adalah terhad. Arahan keperluan untuk menyegerakan penyediaan MJM juga bukan sahaja datang dari SRC tetapi juga daripada bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan sendiri Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

“Saya juga tahu beliau (Wan Abdul Aziz) menerima arahan daripada Perdana Menteri (ketika itu Najib).

“Saya juga menerima arahan yang sama daripada arwah Datuk Azlin Alias (ketika itu Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri) dan saya percaya ia arahan daripada terus daripada Perdana Menteri,” katanya.

Maliami berkata, arahan yang beliau terima adalah secara lisan untuk memastikan MJM berkaitan disediakan segera bagi mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri pada minggu yang sama.

“Semua arahan dan tekanan yang saya terima daripada semua pihak berkaitan, saya turunkan kepada pegawai bawahan.

“Saya juga mengarahkan Timbalan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan Malaysia, Afidah Azwa Abdul Aziz memastikan MJM disediakan untuk pertimbangan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pada hari sama.

“Ia supaya dapat dikemukakan kepada Bahagian Kabinet Jabatan Perdana Menteri (JPN) pada hari sama iaitu 15 Ogos 2011.

“Ia ditanda tangani pada hari yang sama dan ia diserahkan kepada Bahagian Kabinet JPN untuk dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Ogos 2011,” katanya.

Menurutnya, MJM yang dibentangkan itu diluluskan pada 17 Ogos 2011 seperti tertera dalam minit mesyuarat Jemaah Menteri yang diterima oleh Kementerian Kewangan tidak lama selepas itu.

“Seterusnya, Kementerian Kewangan memaklumkan kepada SRC bahawa Jemaah Menteri sudah meluluskan Jaminan Kerajaan yang dipohon.

“Saya kemudian tanda tangan surat yang disediakan oleh Afidah Azwa bertarikh 22 Ogos 2011 untuk memaklumkan perkara itu kepada SRC.

“SRC diminta untuk sediakan draf perjanjian pinjaman pembiayaan antara SRC dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan disemak serta diluluskan oleh Bahagian Undang-Undang Kementerian Kewangan,” katanya.

Saksi berkata, selepas diluluskan oleh Bahagian Undang-undang itu, ia dibawa untuk ditandatangani oleh Menteri Kewangan II pada masa itu iaitu Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

“Surat Jaminan Kerajaan bertarikh 26 Ogos 2011 itu adalah untuk pembiayaian pinjaman KWAP kepada SRC berjumlah RM2 bilion. Selepas ditanda tangani ia diserahkan kepada SRC untuk tindakan lanjut.

“Bagi permohonan Jaminan Kerajaan kali kedua pada 27 Januari 2012, pihak SRC sekali lagi datang ke Kementerian Kewangan. Ia bagi membincangkan keperluan segera mereka mendapatkan jaminan itu,” katanya.

Maliami berkata, mesyuarat diadakan antara pihaknya dengan pihak SRC yang memaklumkan jaminan kedua itu adalah untuk pinjaman berjumlah RM2 bilion lagi.

“Saya memaklumkan kepada mereka untuk kemuka permohonan secara bertulis kepada Kementerian Kewangan dan menerima surat rasmi daripada mereka pada 31 Januari 2012.

“Saya mengarahkan Afidah Azwa untuk menyediakan draf memo iringan bertarikh 2 Februari 2012 daripada Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan kepada Perdana Menteri Melalui Menteri Kewangan II,” katanya.

Beliau berkata, memo itu bertujuan untuk membawa MJM untuk pertimbangan Jemaah Menteri supaya memberi jaminan kepada SRC untuk pinjaman tambahan sebanyak RM2 bilion.

Disiarkan pada: July 8, 2019 @ 9:30pm
d