mutakhir

Treler bawa 120 tong terbakar

Oleh Mohd Sabran Md Sani

TRELER bermuatan agen pembersih ‘isopropyl alcohol’ terbakar di laluan keluar Johor Premium Outlet (JPO) ke Johor Bahru di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Johor Bahru hari ini.

Kejadian 7 malam itu berlaku ketika pemandu kenderaan berat itu, Mohd Zarul Azmizan Ismail, 31, dalam perjalanan dari Tuas ke Ulu Tiram.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Awang berkata, tiga jentera bersama lapan anggota ke lokasi sejurus menerima panggilan pada 7.10 malam.

“Setibanya pasukan bomba dan penyelamat di tempat kejadian, berlaku kebakaran treler membawa muatan 120 tong alkohol.

“Api ketika itu marak membakar treler itu namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Siasatan mendapati treler itu membawa ‘isopropyl alcohol’ iaitu agen pembersih yang bertindak sebagai antiseptik.

“Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya sambil menyatakan operasi tamat 8.45 malam ini.

Disiarkan pada: July 8, 2019 @ 9:34pm
d