mutakhir

Tempoh moratorium e-hailing tak dilanjut

Oleh Hairulazim Mahmud dan Yusmizal Dolah Aling

“KEMENTERIAN Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan tidak berhasrat melanjutkan tempoh moratarium (penangguhan sah kepada perkhidmatan e-hailing) yang tamat bulan ini (12 Julai),” kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Foke.

Beliau berkata, pihaknya menerima 23 permohonan lesen oleh syarikat e-hailing yang diluluskan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menjalankan operasi di negara ini.

Menurutnya, jumlah keseluruhan kuota kenderaan e-hailing daripada syarikat terbabit berjumlah 165,370 kenderaan.

Selain itu, katanya, seramai 23,968 pemandu kenderaan e-hailing mendaftar untuk menduduki ujian Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) sehingga 17 Jun lalu, dan daripada jumlah itu 10,151 lulus ujian terbabit.

“Pada Julai tahun lalu kementerian memberikan moratorium selama setahun kepada syarikat e-hailing untuk persiapan sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya 12 Julai ini.

“Ia untuk memberi masa dan ruang kepada mereka yang terbabit memohon perniagaan pengantara, lesen memandu vokasional, pendaftaran kenderaan dan membeli insurans tambahan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Hai meminta kementerian menyatakan berapa jumlah lesen kenderaan pengangkutan awam dikeluarkan kepada pemandu setakat ini.

Loke berkata, mereka yang terbabit perlu memastikan semua keperluan diselesaikan sepanjang tempoh moratorium.

Disiarkan pada: July 8, 2019 @ 11:01pm
d