mutakhir

Pastikan bekalan beras cukup

Oleh Nur Lela Zulkipli

SHAH ALAM: Padiberas Nasional Bhd (Bernas) komited memastikan sistem beras negara sedia ada dikekalkan bagi menjamin bekalan sentiasa mencukupi, sekali gus membela nasib petani.

Pengarah Urusan Bernas, Ismail Mohamed Yusof berkata, berdasarkan pencapaian syarikat itu negara tidak pernah mengalami kekurangan beras dengan adanya Bernas sebagai badan pengawal selia.

“Malaysia memerlukan bekalan beras kira-kira 2 juta tan setahun dan kini kita mampu menghasilkan 1.2 juta tan setahun. Jadi, baki yang tidak mencukupi itu kita akan import dari luar negara.

“Bagi saya, sistem sedia ada adalah yang terbaik kerana bekalan beras masih terkawal dan tidak berlaku sebarang masalah.

“Bagaimanapun, jika kerajaan mahu kaji semula sistem ini, kami akan bekerjasama,” katanya dalam Majlis Ulang Tahun Ke-25 Bernas di Ibu Pejabat Bernas di sini, semalam.

Kira-kira 1,500 tetamu daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta hadir memeriahkan majlis itu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai permit import (AP) beras yang bakal tamat pada 2021, Ismail menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada kerajaan untuk menentukan sama ada ia akan terus diberikan kepada syarikat berkenaan atau sebaliknya.

“Buat masa ini saya hanya ingin memastikan bekalan beras cukup selain pesawah di seluruh negara tidak mengalami kerugian.

“Apa saja keputusan kerajaan berhubung AP beras, kita bersedia untuk meneruskan perkhidmatan sedia ada supaya semua pihak mendapat manfaat.

“Sistem yang diguna pakai juga didapati masih relevan untuk digunakan dan harga yang ditetapkan juga berpatutan,” katanya.

Bernas ditubuhkan pada 1996 dan mengendalikan perolehan, pemprosesan padi serta pengimportan, pergudangan, pengedaran dan pemasaran beras di Malaysia.

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 5:30am
d