mutakhir

Tragedi maut depan masjid

Oleh Shahrinnahar Latib

SEORANG penjawat awam maut selepas kereta dinaikinya dihempap pokok berhampiran Masjid Kampung Lata Kasah, Jerantut, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.50 malam, mangsa, Farah Liana Safri, 27, dari Kampung Sungai Badak, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, mangsa bersama kakaknya keluar dari rumah keluarganya selepas solat Maghrib untuk ke bandar Jerantut dengan menaiki kereta jenis Perodua Viva.

“Sebaik sampai di hadapan masjid, tiba-tiba sebatang pokok tumbang dan menimpa kenderaan dipandu kakak mangsa.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan bedah siasat mendapati punca kematian akibat kecederaan di kepala,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri, Anuar Hassan berkata, seramai enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat mengenai kemalangan itu.

Katanya, anggota terbabit bertindak menggunakan peralatan khas menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan.

“Mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak hospital manakala yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 10:32am
d