mutakhir

Tragedi keluar isi minyak motosikal

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

“ADIK keluar untuk mengisi minyak motosikal memandangkan dia mahu menunggang ke sekolah, esok.

“Namun, sejam kemudian saya terima panggilan memaklumkan dia kemalangan dan lebih sedih apabila mendapati adik meninggal dunia,” kata Che Mohd Faizal Che Hasim, 31, abang kepada Muhammad Danial Adam, 17.

Remaja itu bersama dua rakannya, Abdul Rahman Abdullah, 16, dan Muhammad Nasrun Al Hakim Norl, 14, meninggal dunia selepas terbabit kemalangan di Jalan Bukit Panau-Bukit Mas dekat Kampung Mentango, Tanah Merah, malam semalam.

Menurut Che Mohd Faizal, arwah adalah anak ketujuh daripada sembilan beradik, keluar dari rumah mereka di Kampung Bukit Mas, Tanah Merah selepas Maghrib.

Katanya, arwah juga memaklumkan mahu mengisi minyak motosikal di stesen minyak yang terletak kira-kira lapan kilometer dari rumah.

“Saya terkejut dengan kejadian itu kerana arwah seorang adik yang baik dan peramah sama ada dalam kalangan keluarga mahupun jiran.

“Tiga hari sebelum kemalangan itu, dia ada menjadi pendiam sedikit berbanding sebelum ini. Malah arwah yang belajar di Sekolah Menengah Ugama Ar-Rahman, Kampung Paloh, bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya ketika ditemui, hari ini.

Jenazah Muhammad Danial Adam akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Mas selepas solat Asar, hari ini.

Manakala, Afendi Kamariah, 54, ayah tiri kepada Abdul Rahman berkata, remaja OKU lembam itu keluar rumah buat kali kedua pada 9.30 malam selepas diambil rakannya.

Katanya, sebelum itu arwah yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chetok, Pasir Mas ada ke sebuah stesen minyak berhampiran untuk mengisi minyak motosikal namun pulang selepas Maghrib.

“Saya tidak tahu dia ke mana (keluar kali kedua) sebelum menerima panggilan yang memaklumkan anak terbabit kemalangan. Saya bergegas ke lokasi dan mendapati dia sudah tiada,” katanya.

Dia memberitahu, jenazah Abdul Rahman akan dikebumikan bersebelahan kubur arwah isterinya, Che Rohana Che Sulaiman, 52, yang meninggal dunia pada Mac tahun lalu akibat kencing manis di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Pasir.

Jenazah Muhammad Nasrun Al Hakim pula dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Gading.

Dalam kemalangan 10.10 malam semalam, tiga remaja itu yang masing-masing menunggang Honda EX5, Yamaha LC serta Modenas Kriss dari arah Bukit Mas ke Bukit Panau, berlanggar semasa sendiri menyebabkan maut di lokasi.

Berita berkaitan

3 remaja maut bertembung sesama sendiri

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 1:22pm
d