mutakhir

Penampar makan tuan

Oleh Mohd Rafi Mamat

SIKAP ‘ringan tangannya’ menampar bekas isteri dua tahun lalu meninggalkan kekesalan buat Fairuz, 33, (bukan nama sebenar) apabila dia dijatuhkan hukuman penjara empat tahun akibat perbuatan itu.

Sesalan itu tidak lagi berguna sebaliknya dia perlu ‘membayar’ harga tinggi dan terpaksa menjalani hukuman di Penjara Penor, Kuantan.

Mengimbas kembali kejadian itu, Fairuz berkata, berlaku pertengkaran antara mereka disebabkan masalah rumah tangga.

“Kami bertengkar kerana rumah tangga yang dibina mengalami masalah, disebabkan tidak dapat menahan sabar saya menamparnya (bekas isteri).

“Saya menyesal dengan perbuatan itu namun semuanya tidak lagi berguna sebaliknya saya terpaksa meringkuk dalam penjara ini selama empat tahun,” katanya pada Program Jalinan Kasih Aidilfitri Penjara Penor baru-baru ini.

Program berkenaan dirasmikan Pengarah Penjara Penor, Datuk Abu Hassan Hussain.

Fairuz berkata, selepas enam bulan menjalani penjara, banyak pengajaran diterimanya malah dia menginsafi perbuatannya itu.

Sementara itu Abu Hassan berkata, pada program itu 24 banduan diberi peluang bertemu ahli keluarga masing-masing sambil menikmati hidangan yang disediakan penjara.

“Setiap tahun pelbagai program diadakan untuk banduan yang mempunyai tahap disiplin tinggi dan sentiasa mematuhi peraturan dalam penjara.

“Saya berharap keluarga terus memberi sokongan kepada banduan sepanjang mereka berada di penjara,” katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 4:22pm
d