mutakhir

Makanan jadi najis, haram dimakan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PENGGUNAAN berus daripada bulu babi dalam penyediaan makanan akan menjadikan juadah itu sebagai najis dan haram dimakan umat Islam.

Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, sebarang penggunaan peralatan begitu atau sumber lain daripada haiwan terbabit adalah haram.

“Ini kerana bulu berus itu basah dan akan merebakkan najis ke tempat digunakan. Oleh itu, pengusaha perlu prihatin terhadap peralatan digunakan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Mohd Yusof berkata, selain digunakan untuk penyediaan makanan, berus dipercayai diperbuat daripada bulu babi itu turut digunakan untuk melukis dan mengecat bangunan.

Katanya, walau apapun penggunaan berus itu tetapi kepada umat Islam, ia adalah haram.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pihak berkuasa melakukan pemantauan lebih kerap selain membuat pengasingan dan penggunaan label pada produk mengandungi bahan tidak halal.

“Malah, masyarakat juga harus peka terhadap penggunaan peralatan sedemikian bagi mengelak kegusaran dan menjejaskan kesucian. Sebelum beli, periksa dan ambil tahu kandungan,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, sebuah restoran di Senawang dekat Seremban, dikesan menggunakan berus yang disyaki diperbuat daripada bulu babi untuk menyapu minyak pada ayam.

Perbuatan itu terbongkar selepas penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) melakukan pemeriksaan di premis berkenaan.

Berita berkaitan

Berus bulu babi sapu ayam

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 5:47pm
d