mutakhir

Dewan Rakyat gamat isu perceraian

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

PERSIDANGAN Dewan Rakyat sesi pagi, hari ini gamat dengan isu punca perceraian selain dakwaan wujudnya kaunter khas di Selangor yang hanya mengambil masa enam jam untuk menyelesaikan kes berkaitan.

Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Soal Jawab Lisan kepada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh mendakwa kaunter khas itu seolah-olah ‘memudahkan’ lagi urusan perceraian.

Jalaluddin: Antara punca perceraian sekarang bukan lelaki saja, perempuan pun punca perceraian. Peratusan paling besar 38 peratus dan Timbalan Menteri sudah jawab iaitu tiada persefahaman, Apa tiada persefahaman? Tidak cukup duit, tidak cukup masa atau suami ada dua tiga rumah lain. Jika pasangan muda dibenarkan bercerai dengan mudah, negara akan runtuh

Yang di-Pertua (Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming).

Kor Ming: Yang Berhormat, saya tiada kuasa untuk benarkan perceraian, yang benarkan adalah hakim di mahkamah saja.

Jalaludin: Iya tuan speaker, saya ada soalan untuk Timbalan Menteri. Jika Johor ada kursus pra perkahwinan khas untuk golongan bukan Islam, adakah negeri lain akan mengikutnya? Ni saya nak tanya Selangor, negeri yang paling tinggi perceraian serta Johor dan Kedah. Negeri Sembilan tidak termasuk kerana bagus menjaga hal rumah tangga.

RSN Rayer (PH- Jelutong) yang tampil mencelah mengatakan Pulai Pinang juga bagus kerana tiada langsung perceraian.

Tindakan bersahaja dua Ahli Parlimen itu disambut dengan gelak ketawa ahli dewan sebelum Kor Ming meminta wakil rakyat Jelutong itu supaya duduk.

Jalaludin: Jelutong, bagilah saya habis dulu.

Kor Ming: Semua berminat kerana ada soalan perkahwinan dan perceraian.

Jalaludin: Adakah Mahkamah Syariah mudah memberi kebenaran kepada pasangan yang ingin bercerai semata-mata untuk menyelesaikan kes? Minta cerai, bagi. Perempuan datang yang tidak berpuas hati dengan suami, bagi (kebenaran bercerai). Kerana saya lihat di Selangor ada satu kaunter khas (fast track), enam jam boleh selesai kes perceraian.

Kor Ming: Masa dah cukup. Jelebu, Jika nak ceramah, nanti sehingga dewan tangguh. Soalan?

Jalaludin: Saya minta jawapan Timbalan Menteri.

Hannah: Nak tahu soalannya apa?

Kor Ming: Tiada soalan pun, dia hanya berikan pandangan. (Disambut dengan gelak ketawa ahli dewan)

Hannah: Tapi saya ingin berikan fakta, tidak benar Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tiada kes perceraian. Perceraian orang Islam di Negeri Sembilan sebanyak 1,869 kes dan Pulau Pinang sebanyak 1,540 kes. Untuk bukan Islam, di Negeri Sembilan rekod 505 kes manakala Pulau Pinang, 1,002 kes. Selangor dan Johor merekodkan peratusan yang tinggi kerana memiliki populasi lebih tinggi.

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 6:00pm
d