mutakhir

Kos KVDT Fasa 2 dikurangkan 15 peratus

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

PROJEK menaik taraf Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) Fasa 2 sepanjang 110 kilometer diteruskan dengan kos RM4.475 bilion, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, penerusan projek itu diputuskan jemaah menteri pada 5 Julai lalu, yang mana kosnya dikurangkan 15 peratus daripada nilai asal.

Katanya, projek itu bagaimanapun tetap diteruskan syarikat Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd.

“Ia juga tidak mengurangkan skop-skop kritikal yang sudah ditentukan kerajaan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) mengenai status terkini projek menaik taraf KVDT Fasa 1 dan Fasa 2.

Mengulas lanjut, Loke berkata, tempoh pelaksanaan projek KVDT Fasa 2 itu ditetapkan selama tujuh tahun dan kontrak kekal kepada syarikat sama kerana kerajaan bakal berdepan implikasi perundangan sekiranya gagal meneruskannya dengan pihak sama.

“Kerajaan akan berhadapan dengan implikasi perundangan yang mana syarikat itu boleh menyaman dengan anggaran pampasan sebanyak RM2.5 bilion,” katanya.

Menurutnya lagi, status kemajuan projek KVDT Fasa 1 setakat 30 Jun lalu sudah mencapai 80.33 peratus selain, pelaksanaannya akan mempengaruhi jumlah kekerapan serta masa perjalanan perkhidmatan tren KTM Komuter dan ETS yang sedia ada.

“Kerajaan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sentiasa memantau prestasi perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia dalam memastikan setiap pengendali pengangkutan awam bertanggungjawab mengikut piawaian yang ditetapkan,” katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 6:07pm
d