mutakhir

'Hanya terkhilaf'

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

KOPERAL polis trafik yang tular berkenaan pemakaian riben perkhidmatan seperti pegawai berpangkat tinggi di media sosial didapati khilaf dalam mengenakan riben itu pada pakaiannya.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, bagaimanapun perkara itu bukanlah bermaksud anggota terbabit, Koperal Ku Fauzi Ku Baharom dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis mempunyai niat untuk menipu.

Menurutnya, sudah terbukti semua pingat itu diterimanya dari Istana Arau atas khidmatnya sebagai pengawal Raja Perlis yang ketika itu menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-12.

“Cuma dalam hal ini, dia terkhilaf mengenakan riben perkhidmatan pada pakaiannya, sepatutnya maksimum hanya enam baris saja dibenarkan.

“Namun dia terlebih satu baris seperti dalam gambar yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Bagaimanapun penyelianya sudah memaklumkan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) dan serta-merta dia mengikut cara pemakaian dibenarkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini tular di media sosial gambar anggota polis mengenakan riben perkhidmatan pada pakaiannya seperti pegawai berpangkat tinggi ketika sedang bertugas di negeri itu.

Gambar itu mendapat reaksi netizen yang rata-ratanya memuji anggota berkenaan atas perkhidmatan beliau sehingga layak dikurniakan pelbagai pingat berkenaan.

Mengulas mengenai pingat terbabit, Noor Mushar secara peribadi memuji anggotanya itu dan dia layak menerimanya.

“Kedua-dua sayap penerbangan yang dipakainya adalah kurniaan Thailand ketika beliau mengiringi Raja Perlis ke majlis ulang tahun kelahiran Raja Thailand dan anugerah kursus khas bersama Briged Para Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Sebagai anggota yang lama bertugas di Istana Arau, beliau sememangnya layak menerima pingat atau riben perkhidmatan sepanjang tempoh berkhidmat,” katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 7:14pm
d