mutakhir

Empat pengganas ditahan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

EMPAT lelaki warga asing yang terbabit kumpulan pengganas ditahan dalam operasi berasingan di sekitar Selangor dan Kedah dari 14 Jun hingga 3 Julai lalu.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, suspek yang ditahan terdiri daripada dua warga Myanmar yang juga etnik Rohingnya, masing-masing seorang warga Filipina dan India.

“Tangkapan pertama dilakukan 14 Jun lalu di Klang membabitkan lelaki warga Filipina berusia 54 tahun yang bekerja sebagai pendawai elektrik.

“Suspek ditahan kerana ada hubungan dengan kumpulan pengganas Abu Sayyaf Group (ASG) dan terbabit dalam membantu aktiviti penculikan untuk pampasan di perairan Sabah.

“Malah, suspek yang menggunakan kad pengenalan palsu untuk menetap secara haram di negara ini disenaraikan sebagai individu paling dikehendaki oleh Eastern Sabah Security Command (ESSCOM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Hamid berkata, tangkapan kedua dilakukan 21 Jun lalu di Ampang, Selangor membabitkan lelaki warga India berusia 24 tahun yang bekerja sebagai penyelenggara lif.

“Suspek ditahan kerana bertindak sebagai fasilitator kepada anggota kanan kumpulan pengganas Babbar Khalsa International (BKI) India yang memasuki negara ini November lalu dan Jun lalu.

“Lelaki itu didapati menyalurkan wang RM7,600 bagi membiayai aktiviti kumpulan pengganas BKI di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata, lelaki warga Myanmar berusia 41 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan ditahan di Sungai Petani, Kedah 24 Jun lalu.

“Suspek berkenaan yang juga penyokong kumpulan Arakan Rohingnya Salvation Army (ARSA) ditahan kerana memuat naik satu video ugutan bunuh ke atas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hsina Wazed melalui laman sosial miliknya.

“Lelaki itu juga pernah ditahan tiga kali iaitu pada 1997, 2012 dan 2015 kerana kesalahan memasuki Malaysia secara haram, menggunakan dokumen palsu serta terbabit dalam aktiviti penyeludupan manusia,” katanya.

Katanya, tangkapan keempat dilakukan 3 Julai lalu di Alor Setar, Kedah membabitkan lelaki warga Myanmar berusia 25 tahun yang bekerja sebagai guru madrasah di Bukit Pinang, Kedah.

“Suspek ditahan kerana memberi sokongan kepada kumpulan ARSA.

“Keempat-empat suspek ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Bab VIA- Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (AKTA 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747),” katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 7:25pm
d