mutakhir

Motosikal hilang ditemui di port dadah [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

SEBUAH motosikal Honda EX5 yang dilaporkan hilang di Alor Setar pada April lalu ditemui semula di sarang penagihan dadah dalam kebun kelapa sawit di Kampung Alor Tok Leh, Sungai Tiang, Pendnag, hari ini.

Motosikal itu sudah ditukar nombor pendaftarannya untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Namun, anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang melakukan pemeriksaan terhadap nombor casis motosikal itu mengesahkan ia motosikal curi yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, motosikal itu ditunggang seorang lelaki berusia 33 tahun yang juga penagih yang masuk ke dalam port penagihan dadah itu.

Beliau berkata, lelaki itu mendakwa tidak mengetahui mengenai motosikal itu dan hanya mendakwa motosikal ‘milik’ adiknya.

“Berikutan itu dia ditahan untuk siasatan lanjut dan hasil ujian saringan awal air kencing terhadapnya mendapati dia positif dadah jenis morfin.

“Lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam kes mencuri motosikal serta kes dadah,” katanya.

Operasi berkenaan disertai sembilan anggota polis diketuai Asisten Superintendan Muhamad Amin Mat Yassin dan lima anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pendang bermula 6.30 pagi hingga 2 petang.

Mereka melakukan operasi di kawasan dikenali sebagai ‘port’ di sebuah banglo ditinggalkan penghuninya untuk melepaskan gian menagih dadah.

Arriz Sham berkata, anggotanya menahan 20 lelaki disyaki penagih dadah berusia antara 24 hingga 53 tahun yang datang ke situ untuk menagih dadah.

Beliau berkata, semua lelaki terbabit disyaki menagih dadah jenis morfin, syabu dan heroin.

“Selain itu, kami merampas beberapa paket kecil dan straw disyaki dadah iaitu 1.24 gram heroin dan 0.66 gram syabu untuk siasatan lanjut.

“Tiga daripada mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, dua lelaki ditahan kerana positif methamphetamine mengikut Seksyen 15 (1)(a)ADB 1952 termasuk seorang daripadanya dikehendaki polis kerana kes dadah.

“Manakala 14 lagi akan diserahkan kepada AADK Pendang dan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.

“Kebanyakan mereka bekerja kampung dan mengambil dadah untuk melepaskan gian,” katanya.

Dalam operasi itu, seorang lelaki luka di kepala ketika cuba melarikan diri melompat dari pagar kawad berduri sebaik menyedari kehadiran polis di kawasan itu.

Disiarkan pada: July 9, 2019 @ 8:45pm
d