mutakhir

Derita hidu bau busuk

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

BAGAN SERAI: Kira-kira 30 penduduk di Kampung Rumah Pam Kerian, Sungai Bogak, di sini, mendakwa tidak selesa dengan bau tidak menyenangkan yang terpaksa dihidu setiap hari dipercayai berpunca daripada sisa buangan kimia.

Difahamkan, sisa buangan kimia yang dipercayai dibuang ke dalam parit itu turut didakwa mengakibatkan ikan mati.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Bogak, Suhairi Abdullah Sani berkata, penduduk sudah mengalami masalah itu sejak dua minggu lalu sehingga menyebabkan kehidupan mereka terganggu.

Menurutnya, penduduk mendakwa bahan buangan sisa kimia itu dipercayai dialirkan ke dalam parit oleh premis automotif dan kilang pembungkusan makanan yang terletak berdekatan kawasan itu.

“Penduduk memaklumkan masalah itu mungkin disebabkan pembuangan sisa kimia seperti cecair thinner, minyak hitam dan cecair pembersihan lori dari premis berhampiran.

“Kesannya, penduduk menghidu bau bahan kimia tidak menyenangkan khususnya pada siang hari dan difahamkan ada beberapa penduduk mengalami masalah kesihatan seperti batuk, demam dan selesema,” katanya selepas meninjau masalah pencemaran di kampung itu, semalam.

Hadir sama, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Pongsu, Azroul Shahrin Amir dan kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Sementara itu, penduduk kampung, Sariah Cha,77, berkata, dia dan keluarganya serta penduduk kampung tidak selesa dengan bau tidak menyenangkan itu yang dapat dihidu dari rumah mereka.

“Penduduk sangat berharap masalah ini dapat diatasi dan pihak berwajib perlu mengambil tindakan tegas kerana ia menyebabkan masalah kepada penduduk,” katanya.

Dalam pada itu, Azroul Shahrin berkata, pihaknya sudah memaklumkan perkara itu kepada JAS dan berharap punca pencemaran itu dapat dikesan seterusnya mengambil tindakan wajar.

“Perkara ini perlu diatasi segera sebelum nyawa manusia menjadi mangsa,” katanya.

Disiarkan pada: July 10, 2019 @ 6:30am
d