mutakhir

Gelap mata demi wang mudah

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

DEMI memperoleh komisen tidak seberapa menyebabkan mereka sanggup menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM) dan akaun bank kepada sindiket penipuan.

Walaupun hanya mengenali sindiket sama ada melalui laman sosial, mesej atau panggilan telefon, mereka tidak bimbang risiko ditahan kerana gelap mata menerima wang mudah sehingga sanggup bersekongkol.

Bagaimanapun, kegiatan mereka tumpas apabila Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menjalankan Ops Mule di daerah ini, Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kedah, sejak dua minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, hasil operasi itu, pihaknya menahan 12 individu membabitkan nilai kerugian RM148, 099.

Katanya, tangkapan membabitkan 10 lelaki tempatan dan masing-masing seorang lelaki warga Afrika dan wanita tempatan.

“Lima ditahan terbabit dalam penipuan Macau Scam, empat individu terbabit dalam aktiviti pinjaman tidak wujud, seorang lag individu ditahan kerana memberi pinjaman wang tidak berlesen dan dua lain ditahan kerana penipuan jual beli barang dalam talian.

“Sebahagiannya sudah dituduh di mahkamah dan ada yang menunggu arahan pertuduhan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut dan akan menahan beberapa lagi suspek di Perak serta Johor.

“Hasil siasatan dijalankan, mereka adalah pemilik akaun yang digunakan untuk melakukan penipuan.

“Kad ATM dan akaun diserahkan kepada individu yang hanya dikenali melalui laman sosial, mesej atau panggilan telefon,” katanya.

Risikin berkata, mereka menyerahkan kad ATM melalui pos ke alamat yang diberikan atau kepada orang tengah ahli sindiket yang tidak dikenali untuk mendapatkan komisen tidak seberapa.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, Seksyen 420 dan Seksyen 424 akta sama serta Seksyen 29 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.

Disiarkan pada: July 10, 2019 @ 9:21am
d