mutakhir

Penjara 6 bulan, denda RM10,000 sogok polis [METROTV]

Oleh Muhamaad Razis Ismail

PADAH memberi rasuah kepada Pasukan Gerakan Am (PGA), seorang lelaki warga Thailand dipenjara enam bulan dan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini.

Hakim Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Faramis Yahkoh, 35, mengaku salah terhadap tuduhan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi suapan RM1,600 kepada anggota Batalion 9 PGA, Kubang Badak, Terengganu, Koperal Mohd Nazri Mohd Nadzri sebagai dorongan melepaskan diri daripada ditangkap atas kesalahan tidak mempunyai pasport dan memiliki ketulan kristal disyaki syabu seberat 3.4 gram.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Chempaka, Jalan Lubok, Tanah Merah jam 2 pagi 17 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman minimum bermula daripada tarikhnya ditangkap.

“Mak saya sakit dan perlu menyara isteri dua anak serta adik yang masih belajar,” katanya

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Adha Amir Yasser Amri memohon hukuman setimpal kerana kesalahan serius sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang lelaki warga Thailand berusia 30-an bersama tiga lagi rakannya ditahan dalam serbuan PGA.

Susulan itu, suspek didakwa cuba menyogok anggota PGA bagi mengelak daripada ditahan.

Bagaimanapun, anggota PGA menolak sogokan itu dan terus menahan suspek untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: July 10, 2019 @ 10:43am
d