mutakhir

Patutlah cari tak jumpa, kena tahan rupanya..

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

DUA nelayan dilaporkan hilang di Perairan Kuala Kurau ketika memancing 1 Julai lalu, disahkan ditahan pihak berkuasa Indonesia di Perairan Selat Melaka, wilayah Indonesia, selepas dipercayai terbabit kes penyeludupan syabu seberat enam kilogram.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, hasil siasatan pihaknya, perkara itu disahkan ahli keluarga mereka melalui video yang tular.

Menurutnya, pada 2 Julai lalu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kedua-dua nelayan terbabit dilancarkan beberapa agensi termasuk nelayan tempatan susulan kehilangan mereka.

Katanya, operasi kemudiannya terpaksa dihentikan pada 11 pagi, 6 Julai lalu selepas usaha mencari mereka gagal.

“Dengan maklumat terkini diperoleh mengenai penahanan kedua-dua nelayan terbabit oleh pihak berkuasa negara jiran, polis akan meneruskan siasatan menyeluruh berhubung kes (penyeludupan dadah) itu di sini,” katanya ketika dihubungi di Bagan Serai, hari ini.

Difahamkan, kedua-dua nelayan berusia 55 dan 56 tahun berasal dari Kuala Kurau, ditahan Badan Narkotika Nasional Provinvisi (BNNP) dengan kerjasama Bea Cukai dan Polisi Daerah Sumatera Utara pada 1 Julai lalu kira-kira 11 malam, waktu Indonesia.

Kedua-dua suspek ditahan ketika berada di sebuah bot laju di perairan Gosong Siguna-guna, Kabupaten Serdang Bedagai, Sumut dan pihak berkuasa Indonesia turut menemui sejumlah enam kg dadah jenis syabu.

Hasil penahanan itu, pihak berkuasa Indonesia kemudiannya berjaya menahan tiga lagi suspek dipercayai pembeli dan pengedar berusia 29 hingga 32 tahun termasuk pasangan suami isteri.

Terdahulu, Harian Metro 4 Julai lalu melaporkan dua lelaki dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas susulan gagal dikesan selepas keluar memancing di perairan Kuala Kurau dengan menaiki bot gentian kaca, 1 Julai lalu.

Mangsa dilaporkan hilang adalah Yeap Bee Lun, 55, dan Ong Choo Peen, 56, masing-masing berasal dari Kuala Kurau.

Disiarkan pada: July 10, 2019 @ 2:10pm
d