mutakhir

'Betul ke dia transgender?' - PM

Oleh Hairulazim Mahmud

PERDANA Menteri terkejut apabila dimaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan melantik transgender, Rania Zara Medina sebagai ahli jawatankuasa pertubuhan Mekanisme Penyelarasan Negara (CCM).

Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui tidak tahu menahu berkaitan pelantikan itu, selain status jantina mak yah terbabit.

“Apa transgender? Awak dah periksa dia ke? Betul ke dia transgender?

“Saya tidak tahu macam mana dia transgender, saya tak jumpa dia,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Sejak semalam tular mengenai surat pelantikan dan status Facebook berkaitan perkara berkenaan.

Individu terbabit, Rania Zara itu turut memuat naik surat pelantikannya yang ditandatangani Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye pada 25 Jun lalu.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan semalam berkata, pelantikan Ratu Trans Women 2017 itu sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) dalam CCM Malaysia di bawah Kementerian Kesihatan adalah sah mengikut prosedur sedia ada.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, pelantikan itu berdasarkan wakil masyarakat dalam kalangan populasi sasar dipilih dan disahkan melalui surat lantikan oleh beliau sendiri.

Populasi sasar itu, termasuk transgender, seks lelaki bersama lelaki (men-sex-with-men), pekerja seks wanita, penagih dadah dan orang yang hidup dengan HIV/AIDS (PLHIV).

CCM di negara ini ditubuhkan atas keputusan Jemaah Menteri pada 2009 untuk menangani penyakit HIV/AIDS melalui sumbangan daripada Global Fund.

Berita berkaitan

Pelantikan ratu transgender dalam CCM ikut prosedur

Disiarkan pada: July 10, 2019 @ 3:32pm
d