mutakhir

Dapat peruntukan beli 20 mesin imbas kargo

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

MESYUARAT Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang (JPU) Bil. 1 2019 hari ini bersetuju untuk menyediakan peruntukan berjumlah RM300 juta bagi membeli 20 mesin pengimbas kargo bagi membanteras penyeludupan dadah ke negara ini.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Kewangan akan menyediakan peruntukan itu dan ia dalam proses perolehan.

Beliau berkata, mesyuarat sama juga mengambil maklum bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang dalam tindakan membuat pindaan berhubung kesalahan berkaitan ketum yang dijangka akan dibentangkan dalam Parlimen akan datang.

“Mesyuarat juga bersetuju bahawa kesalahan-kesalahan berkaitan penagihan dadah dikeluarkan daripada didaftarkan dalam Senarai Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini seperti yang terkandung dalam Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969 (Akta 7).

“Selain itu, mesyuarat turut bersetuju dengan cadangan pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 termasuk mendefinasi semula penagih dan pengguna dadah, menyemak semula kuasa-kuasa Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berhubung pengendalian Pusat Pemulihan Penagihan Dadah Persendirian (PPDP) dan lain-lain lagi.

“Dalam pada itu, kami juga bersetuju dengan cadangan pewujudan kluster banduan penagih dadah di 14 institusi penjara dengan 19 blok penempatan membabitkan anggaran kapasiti seramai 9,500 orang banduan penagih dadah pada satu-satu masa dengan anggaran kos keseluruhan RM285 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Katanya, jawatankuasa juga bersetuju untuk melaksanakan projek rintis Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam menangani masalah penagihan dadah dan pelencongan sosial di 12 kawasan iaitu di Kedah (Pulau Langkawi; FELDA Lubuk Merbau dan Kuala Kedah); Selangor (Flat Sri Mentari Petaling, Sungai Besar Sabak Bernam dan FELDA Gugusan Hulu Selangor; Johor (Johor Bahru (Perling/Tampoi/Skudai) dan Parit Sulong Batu Pahat); Kelantan (Pengkalan Chepa); Terengganu (Kuala Dungun); Kuala Lumpur (PPR Sungai Bonus) dan Pahang (FELDA Keratong 3).

Muhyiddin berkata, kawasan Projek rintis yang dikenal pasti itu membabitkan kawasan yang terletak di dalam kawasan berisiko tinggi dan sejajar dengan usaha menangani penagihan dadah dan pelencongan sosial yang dijalankan secara bersepadu.

Menurutnya, projek yang dijalankan akan dijadikan model untuk diperluaskan di seluruh negara sejajar dengan matlamat Dasar Dadah Negara.

Dalam pada itu, katanya, mesyuarat juga bersetuju untuk mewujudkan satu jawatankuasa kerja bagi merangka kempen mencegah penyalahgunaan dadah yang akan diterajui oleh AADK membabitkan semua peringkat termasuk kerajaan negeri.

Tambahnya lagi, kempen di peringkat Kebangsaan akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain itu, Muhyiddin berkata, kerajaan memandang serius berhubung isu penyalahgunaan dadah dan menyedari tentang kekangan AADK daripada segi kemudahan dan kekurangan tenaga kerja dalam memberi perkhidmatan kepada klien.

“Ini berdasarkan nisbah bilangan Pegawai Antidadah berbanding klien dalam komuniti iaitu 1:200 berbanding 1:25 mengikut piawaian antarabangsa. Perkara ini akan diberi perhatian oleh pihak Kementerian,” katanya.

Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang berfungsi menyemak semula isu-isu perundangan berkaitan dadah sebelum di bawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Dadah (JKMD) yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Disiarkan pada: July 10, 2019 @ 3:51pm
d