mutakhir

Operasi kesan ikan dibom

Oleh Fardy Bungga

PASUKAN Polis Marin (PPM) melancarkan operasi mengesan ikan yang ditangkap menggunakan bom ikan di Pasar Besar Safma, Kota Kinabalu bermula 12.30 tengah malam tadi.

Dalam operasi itu, sepasukan pegawai dan anggota PPM turut dibantu 13 pegawai Jabatan Perikanan Negeri.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, tumpuan operasi terhadap peniaga yang menjual hasil laut yang ditangkap menggunakan bahan letupan.

Katanya, ia penting bagi menyekat rantaian penjualan dan permintaan terhadap ikan itu sekitar pasar berkenaan.

“Kita percaya, sekiranya dapat mengesan rantaian penjualan ikan-ikan bom ini, maka individu yang melakukan aktiviti itu tidak akan dapat memasarkan hasil mereka.

“Secara tidak langsung, aktiviti pengeboman ikan akan dapat dibendung di peringkat awal,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, sepanjang operasi itu, sebanyak 21 meja peniaga ikan diperiksa dan pemeriksaan dilakukan secara terperinci oleh pegawai perikanan.

“Peniaga seharusnya berniaga secara jujur dan perlu mengetahui sumber ikan berkenaan diperoleh supaya orang awam yang membeli dapat menikmati ikan yang segar dan tidak tercemar.

“Sekiranya masyarakat mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengeboman atau penjualan ikan bom, boleh salurkannya kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: July 10, 2019 @ 4:38pm
d