mutakhir

Resort milik Jamal dilelong

Oleh Siraj Mohd Zaini

SEKIN Fishermen Village Hotel & Resort milik Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dilaporkan akan dilelong pada harga RM4.5 juta.

Iklan mengenai lelongan itu dimuat naik hari ini menerusi satu laman sosial Facebook yang memaparkan lelongan harta di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Jamal berkata, resort itu akan dilelong 15 Julai ini.

“Saya akan menjualnya, harga RM4.5 juta adalah murah dan berbaloi untuk pelaburan jangka panjang.

“Jangan lepaskan peluang ini, perkataan lelong mungkin menggambarkan saya sedang tenat atau teruk tetapi saya melihat ia adalah platform terbaik kerana ada ejen yang akan membantu urusan menjual resort ini,” katanya ketika dihubungi.

Pada Disember 2016 lalu, resort yang mempunyai 100 bilik di Jalan Pantai Redang, Sekinchan itu mencetuskan kontroversi apabila Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) bertindak menyita dan meruntuhkan beberapa strukturnya.

MDSB dalam notis perintah tutup menyatakan resort itu disita dan diarahkan tutup kerana menjalankan aktiviti tanpa lesen sah mengikut UUK 3(1) Undang-undang Kecil Hotel (MDSB) 2013.

Sepanjang penutupan itu resort berkenaan dilarang menjalankan perniagaan atau beroperasi sebelum mendapat kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa, memastikan notis atau pita sitaan tidak ditanggal, dibuang atau dirosakkan serta pemiliknya perlu mengemukakan permohonan dengan mematuhi syarat permohonan lesen.

Jamal kemudiannya memfailkan tuntutan saman terhadap Kerajaan Selangor serta dua pihak lain kerana menyita serta merobohkan struktur resort miliknya pada 2017.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagaimanapun membatalkan tuntutan terbabit dan menyatakan tindakan MDSB meroboh serta menyita resort yang dibina di atas tanah kerajaan milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu adalah sah.

Disiarkan pada: July 10, 2019 @ 4:41pm
d