mutakhir

Derita Nur Umairah Jannah berakhir [METROTV]

Oleh Farah Suhaidah Othman

BAYI perempuan berusia lapan bulan, Nur Umairah Jannah Abdul Muhaimin yang menghidap penyakit hydrocephalus atau lebihan cecair dalam otak, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur hari ini.

Jiran keluarga Nur Umairah, Mastura Meor Razali berkata, berita sedih itu dimaklumkan keluarga Nur Umairah 3 petang tadi.

“Saya dimaklumkan oleh keluarga Nur Umairah, bayi itu meninggal dunia petang tadi namun tidak dapat dipastikan punca kematian,” katanya ketika dihubungi di Ipoh hari ini.

Penyakit Nur Umairah itu mengakibatkan kepalanya semakin membengkak dan membesar serta membataskan pergerakannya dan hanya mampu bermain dalam keadaan berbaring.

Mastura berkata, jenazah Nur Umairah dijangka tiba di Ipoh lewat petang ini dan akan disembahyangkan di Masjid Al Islah, Kampung Tersusun Kledang Utama, Sungai Siput selepas solat Maghrib.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tersusun Kledang Utama.

Nur Umairah yang dilahirkan Oktober lalu, berada di bawah jagaan ibu saudaranya, Nurul Shafikah Zainuddin, 19, yang bekerja sebagai operator pengeluaran kilang.

Penderitaan bayi perempuan itu mendapat perhatian ramai dan sebagai usaha merawatnya Nur Umairah dibawa ke hospital berkenaan 5 Julai lalu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Berita mengenai masalah kesihatan yang dialami Nur Umairah turut mendapat perhatian isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang turut meluangkan masa menziarahi Nur Umairah di wad pediatrik Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Isnin lalu.

Disiarkan pada: July 10, 2019 @ 6:33pm
d