mutakhir

Kereta, laptop dilarikan penyamun

Oleh Ibrahim Isa

PENSYARAH kerugian RM25,000 apabila rumahnya di Taman Pulai Utama, Johor Bahru dipecah masuk selain Proton Saga FLX dilarikan penjenayah hari ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, mangsa lelaki berusia 30 tahun hanya sedar mengenai kejadian itu ketika bersiap ke tempat kerja 8 pagi tadi.

Katanya, ketika itu mangsa mendapati pintu depan rumahnya terbuka dan apabila diperiksa dia mendapati Proton Saga FLX putih bernombor pendaftaran JNR 6674 tiada di parkir.

“Mangsa kemudiannya memeriksa dalam rumah dan mendapati beberapa barang seperti beg galas hitam mengandungi pasport serta beg galas kelabu mengandungi laptop Macbook Air turut hilang.

“Mangsa yang percaya rumahnya dipecah masuk orang tidak dikenali membuat laporan di Balai Polis Kangkar Pulai 10.59 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, bertindak atas laporan yang dibuat mangsa sepasukan polis menjalankan siasatan dan mendapati perompak memecah masuk dengan mengumpil pintu gelongsor kaca hadapan rumah.

Katanya, mangsa menyewa rumah itu sejak 2015 dan kerugian dianggarkan RM25,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun.

“Berikutan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: July 10, 2019 @ 6:48pm
d