mutakhir

Batal seminar kerana ugutan bom

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PENGANJUR seminar The Amman Message (Mesej Amman), Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) membatalkan seminar dijadual berlangsung Sabtu ini susulan ugutan bom diterima daripada seorang pengguna Facebook.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, pembatalan itu dibuat susulan komen diterima penganjur seminar terbabit di laman Facebook Gerakan Banteras Syiah bertarikh 6 Julai lalu daripada pemilik akaun Facebook, Amirol Md Zain iaitu “kita bomb tempat nie.”

“Susulan komen berkenaan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IAIS, Profesor Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil membuat satu laporan polis, semalam.

“Polis sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Asmawati berkata, komen terbabit dihantar menerusi pautan https://www.facebook.com/419467972238567/posts/452657315586299.

Seminar itu bagi mempromosikan Mesej Amman iaitu satu deklarasi dimeterai pada 2004 untuk menggalakkan pemahaman antara pemikiran Islam, termasuk persefahaman antara Sunni dan Syiah.

Disiarkan pada: July 10, 2019 @ 9:56pm
d