mutakhir

Sasar serah 90 rumah percuma

Oleh Idris Musa

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan menyasarkan 90 penerima rumah percuma bagi golongan miskin melalui Program Baiti Jannati, tahun ini.

Menterinya, Khalid Abd Samad berkata, sasaran penambahan itu berbanding tahun sebelum ini bukan hanya tertumpu di ibu kota, tetapi turut membabitkan Putrajaya dan Labuan.

Beliau berkata, Program Baiti Jannati dimulakan oleh kerajaan lama pada 2016 namun diteruskan kerajaan baru bagi membantu golongan miskin memiliki rumah.

“Oleh kerana ianya satu program baik, maka kerajaan baru meneruskannya dan berusaha menambah lagi jumlah penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Program Baiti Jannati @ Wilayah Persekutuan di Kompleks Sukan Pantai Ecopark di sini, semalam.

Pada majlis itu, seramai 60 penerima dari beberapa kawasan di sekitar ibu kota terdiri daripada golongan miskin mendapat pemilikan rumah masing-masing.

Rumah percuma itu adalah hasil kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang membeli rumah berkenaan menerusi zakat korporatnya sebelum diserahkan kepada penerima terbabit.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, pihaknya mengajak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain untuk turut sama mencontohi usaha TNB itu.

“Bayaran zakat yang mereka lakukan digunakan untuk membeli rumah bagi golongan miskin. Kita memang amat menggalakkan penyertaan GLC lain.

“Duit yang kita dapat melalui bayaran zakat kita khusus kepada yang beragama Islam, tapi daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kita gunakan untuk bukan Islam.

“Hari ini, oleh kerana ianya daripada wang zakat, maka penerimanya adalah orang Islam. Kita cukup berpuas hati dan berbangga dengan program yang dapat kita laksanakan,” katanya.

Pada sidang media sama, Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman berkata, program itu bukan kali pertama bagi pihaknya.

Malah, katanya, sudah beberapa tahun TNB bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk program berkenaan.

“Sebenarnya program ini meliputi seluruh tanah air dan untuk tahun ini sahaja kita ada 167 rumah, tetapi penerima paling ramai di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Mengulas bayaran zakat korporat oleh TNB itu katanya, bagi Wilayah Persekutuan TNB membayar zakat kepada Pusat Pungutan Zakat (PPZ) sebanyak RM6 juta untuk tahun 2017.

Katanya, daripada jumlah itu, RM3.1 juta digunakan untuk membeli sebanyak 60 buah rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR), selain dua buah rumah yang akan dibina, dengan kos RM50,000 setiap rumah.

Disiarkan pada: July 11, 2019 @ 8:00am
d