mutakhir

Anak beranak minta sedekah beli dadah

Oleh BERNAMA

SEORANG remaja berusia 13 tahun dan bapanya antara 14 individu ditahan kerana positif dadah dalam Ops Tapis Khas dijalankan di sekitar Jalan Masjid Kapitan Keling, Georgetown, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, remaja dipercayai sudah tidak bersekolah ditahan bersama bapanya berusia 40-an ketika kedua-duanya meminta sedekah di kawasan masjid itu.

“Operasi dijalankan berikutan aduan orang ramai berhubung kehadiran penagih dadah dipercayai peminta sedekah di kawasan berkenaan dan hasilnya, polis berjaya menahan 14 individu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tangkapan membabitkan 12 lelaki dan dua wanita berusia antara 13 dan 56 tahun yang mana salah salah seorang mereka adalah dalang yang mengedar dadah apabila menemui sejumlah heroin dan syabu.

“Polis akan terus menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan Jalan Masjid Kapitan Keling bebas daripada sebarang aktiviti tidak sihat dan mencemarkan imejnya kerana ia adalah kawasan tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya.

Disiarkan pada: July 11, 2019 @ 10:05am
d