mutakhir

Alhamdulillah, Ainul bertambah sihat

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

KEADAAN Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin hari ini, yang tidak sihat, sejak Isnin lalu, bertambah baik selepas mendapatkan rawatan di London.

Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, berkata, bayi perempuan berusia 11 bulan itu tidak dapat tidur kemungkinan tidak sihat Isnin lalu dan pihak hospital meminta bayi itu tinggal di London lebih lama sedikit bagi menyambung rawatan.

“Keadaan Ainul hari ini bertambah baik. Pagi semalam, dia tidur nyenyak sebab keadaan dia sudah semakin baik.

“Untuk masa sekarang ini, Ainul mengambil antibiotik sebab sehari sebelum nak balik (pulang ke tanah air), hospital dapat kesan Ainul demam sikit.

“Jadi, pihak hospital tak izinkan balik di saat akhir sebab risiko atas penerbangan,” katanya menerusi aplikasi Whatsapp, kira-kira 2.05 pagi (waktu London), hari ini.

Ahmad Safiuddin berkata, dia bagaimanapun tidak pasti berapa lama lagi Ainul Mardhiah perlu berada di London, namun yakin semua akan berjalan lancar.

Menerusi status yang dimuat naik di Facebook, pagi ini juga, Ahmad Safiuddin memohon maaf kerana tidak mengemas kini perkembangan keadaan Ainul Mardhiah, beberapa hari lalu.

“Doktor mahu Ainul tinggal di sini untuk beberapa minggu lagi untuk rawatannya.

“Sepatutnya Ainul dibenarkan balik dalam minggu ini, tapi atas faktor kesihatannya yang sedikit terjejas beberapa hari lalu, Ainul diminta untuk tinggal dan makan ubat, mungkin ada hikmahNya mengapa tidak jadi balik,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Safiuddin ketika diminta mengulas mengenai gambar permata hati keluarga berusia 11 bulan itu disalah guna pihak tertentu dalam media sosial, dia tidak mahu mengambil sebarang tindakan berikutan ia berlaku di luar kawalannya.

“Tidak mengapa. Saya tak boleh nak kawal semua. Mana yang saya terdaya sahaja. Terima kasih kerana beritahu saya.

“Sekurang-kurangnya saya tahu dengan berita yang salah macam ini,” katanya.

Menerusi laman sosial Instagram yang dikongsikan ibu bayi, Nurul Erwani, 24, semalam, Ainul sepatutnya dibenarkan pulang ke tanah air pada Isnin lalu 9.30 malam (waktu London) dan dijangka tiba Selasa jam 5.30 petang (waktu Malaysia), namun ditangguhkan kerana demam dan batuk.

Ainul Mardhiah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam di Hospital Kanak-kanak di United Kingdom pada 10 Jun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Disiarkan pada: July 11, 2019 @ 11:29am
    d