mutakhir

APMM gagalkan cubaan bom ikan

Oleh Fardy Bungga

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mematahkan percubaan nelayan yang menaiki dua sampan dipercayai mahu melakukan aktiviti pengeboman ikan berhampiran Tanjung Logong, Pulau Gaya di Kota Kinabalu, semalam.

Aktiviti nelayan itu dikesan pada 9.50 pagi, dalam operasi khas APMM membanteras aktiviti pengeboman ikan, pam bot haram dan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditumpukan di kawasan Teluk Likas dan sekitar Pulau Gaya.

Pengarah APMM Sabah, Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, dalam operasi itu, kedua-dua sampan berkenaan dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba dihampiri anggota penguat kuasa.

Bagaimanapun, katanya, dua awak-awak sampan berkenaan yang menyedari kehadiran pihak berkuasa bertindak terjun ke laut dan berenang ke daratan sebelum menghilangkan diri.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap dua sampan berkenaan membawa kepada penemuan pelbagai peralatan dan bahan letupan untuk aktiviti pengeboman ikan.

“Kedua-dua sampan berkenaan bersama peralatan bom ikan yang dirampas kemudiannya dibawa balik ke Jeti APMM untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Kamaruszaman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda RM20,000 atau penjara selama 2 tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, Kamaruszaman berkata, APMM mempergiatkan operasi mengesan dan membanteras aktiviti pengeboman ikan di seluruh Zon Maritim Negeri Sabah lanjutan kejadian malang yang menimpa dua pelancong China dan seorang penyelam di perairan Semporna baru-baru ini.

Katanya, hasil maklumat awam dan risikan mendapati kawasan Teluk Likas adalah salah satu kawasan aktiviti bom ikan yang kerap dilakukan oleh PATI.

“Operasi kali ini diatur gerak ke kawasan Teluk Likas dalam usaha mencegah aktiviti mengebom ikan daripada menjadi berleluasa.

“Ini kerana ia bukan saja berbahaya kepada orang ramai dan pelaku itu sendiri tetapi juga memberi kesan kepada ekosistem kehidupan marin seperti kerosakan terumbu karang dan pembiakan ikan,” katanya.

Kamaruszaman berkata, komuniti maritim diminta supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di laut dan melaporkan sebarang kejadian jenayah atau kecemasan di laut di talian 088- 260175 untuk tindakan segera.

Disiarkan pada: July 11, 2019 @ 12:11pm
d