mutakhir

Geng curi emas rumah pengantin tumpas

Oleh Nur Saliawati Salberi

KUMPULAN Surya yang aktif melakukan jenayah pecah rumah di sekitar Melaka dan Tampin, Negeri Sembilan, tumpas dengan penahanan lapan anggota termasuk ketua mereka.

Tangkapan semua lelaki terbabit dilakukan dalam beberapa serbuan dalam Ops Bridal di Melaka dan Negeri Sembilan sejak Isnin lalu hingga petang semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) (Risikan/Operasi) negeri, Superintendan Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, semua suspek ditahan berusia antara 24 hingga 54 tahun dan tangkapan pertama dilakukan kira-kira 4.30 petang Isnin lalu di Ayer Keroh membabitkan ketua kumpulan berusia 38 tahun.

Beliau berkata, mereka dipercayai sudah bergiat aktif menjalankan jenayah sejak enam bulan lalu membabitkan kerugian kira-kira RM900,000.

“Suspek dikatakan mensasarkan rumah pengantin India yang akan melangsungkan majlis perkahwinan kerana kebiasaan tuan rumah akan menyimpan barang kemas.

“Kumpulan ini mempunyai 'pointer' yang juga penduduk tempatan untuk mengenal pasti rumah yang akan dipecah masuk selain turut menentukan masa sesuai untuk pecah masuk,” katanya.

Beliau berkata demikian sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, hari ini.

Menurut beliau, kumpulan ini turut dianggotai seorang tukang emas yang mempunyai kepakaran meleburkan emas dicuri dan akan membentuk rekaan baharu untuk digadai atau jual.

“Berdasarkan siasatan mereka dipercayai terbabit dalam 30 kes pecah rumah, masing-masing 26 di negeri ini dan empat di Tampin.

“Semakan turut mendapati dua daripada suspek termasuk ketua kumpulan Surya mempunyai rekod jenayah membabitkan curi dan pecah rumah,” katanya.

Yusharifuddin berkata, dengan penangkapan semua suspek, polis turut merampas patung hiasan, pelbagai barangan kemas, telefon bimbit, televisyen, surat pajak gadai dan peralatan lebur emas serta pecah rumah.

“Semua mereka kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: July 11, 2019 @ 2:08pm
d