mutakhir

Simpanan 15 tahun untuk tunai haji

Oleh Mohd Amin Jalil

HASIL upah menjaga empat cucu selama 15 tahun digunakan suami isteri sebagai simpanan untuk menunaikan haji tahun ini.

Mohd Zulkefli Ibrahim, 61, dan pasangannya Salmah Mohd Isa, 61, dari Taman Cempaka Senawang, menjaga empat cucu berusia antara satu hingga 15 tahun.

Mohd Zulkefli yang juga pesara tentera bersama isteri menggunakan wang upah diberikan tiga daripada empat anaknya yang sudah berumahtangga.

“Semua wang upah jaga cucu yang diberikan anak setiap bulan kami buat simpanan di Tabung Haji (TH).

“Alhamdulillah, hasil simpanan itu kami menerima panggilan untuk ke Tanah Suci Makkah, tahun ini.

“Kami dijadualkan berangkat ke sana pada 14 Julai ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Seremban hari ini.

Menurut Mohd Zulkefli, dia mendaftar dengan TH untuk menunaikan haji pada 2008 dan bersyukur selepas penantian sekian lama untuk melaksanakan Rukun Islam kelima itu ia bakal tercapai.

Dia yang juga orang kurang upaya (OKU) selepas kaki kiri dipotong dari paras lutut akibat jangkitan kuman dalam tulang pada 2017, melupakan kekurangan diri malah bersemangat untuk menunaikan ibadat itu.

Sementara itu, Salmah berkata, dia bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana hajat untuk menunaikan haji tercapai.

“Saya berharap semuanya berjalan lancar sepanjang kami berada di sana dan mendapat haji mabrur,” katanya.

Disiarkan pada: July 11, 2019 @ 7:28pm
d