mutakhir

Lee Lam Thye terima anugerah CSR tertinggi

Oleh Idris Musa

AKTIVIS sosial Tan Sri Lee Lam Thye menerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup (Tanggungjawab Sosial) Anugerah CSR Malaysia 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Anugerah disampaikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh, pada satu majlis dianjurkan Pertubuhan Amal Tanggungjawab Kemapanan dan Korporat Malaysia (CSR Malaysia) dan Komuniti Lestari Global.

Lee, 73, yang juga Ahli Lembaga Pengarah The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd, dipilih menerima anugerah utama itu kerana sumbangan cemerlang beliau dalam meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Beliau juga giat dengan usaha mempromosi keselamatan dan kesihatan pekerjaan menerusi pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) diterajuinya.

Selain Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Yayasan EcoWorld dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), beliau adalah Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) serta Penaung Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor dan Persatuan Psikiatri Malaysia.

Beliau juga adalah Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air Negara (MKAA), Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental dan Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia.

Lee berkata, beliau gembira menerima anugerah itu dan mendedikasikannya kepada semua rakyat Malaysia yang bekerja keras untuk melaksanakan program CSR mereka.

“Ia juga mendorong saya bekerja lebih kuat untuk merealisasikan impian membentuk rakyat Malaysia yang lebih prihatin,” katanya.

Mengulas mengenai tanggungjawab sosial katanya, ia bukan inisiatif yang hanya dilakukan sekali sahaja tetapi harus menjadi usaha berterusan dan mapan untuk membantu masyarakat terutama mereka yang kurang bernasib baik.

“Ia akan memberi harapan kepada golongan kurang bernasib baik bahawa masih ada orang yang bersedia untuk membantu mereka,” katanya.

Disiarkan pada: July 11, 2019 @ 7:56pm
d