mutakhir

Lanyard permudahkan jemaah

Oleh Yusri Abdul Malek

BAGI memudahkan pemantauan jemaah haji melakukan umrah buat kali pertama, Tabung Haji (TH) memperkenalkan lanyard berwarna mewakili zon di mana maktab jemaah terbabit menginap.

Ketua Rombongan Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, terdapat 14 bangunan disewa TH sebagai hotel penginapan yang masing-masing terletak dalam lingkungan 600 meter hingga 900 meter dari Masjidilharam.

Katanya, semua bangunan itu dibahagikan kepada empat zon iaitu Zon A (Shuib Amir), Zon B(Ajyad), Zon C (Hafaer) dan Zon D Misfalah).

“Setakat ini seramai 6,514 jemaah sudah berada di Tanah Suci Makkah dan 1,860 berada di sini manakala selebihnya masih di Madinah.

“Bagi memantau pergerakan dan penyelarasan, TH menyediakan satu sistem lanyard bagi mengelak jemaah tersasar atau sesat.

“Lanyard utama adalah berserta nama pengenalan jemaah yang perlu dipakai sepanjang berada di Tanah Suci.

“Bagi lanyard pengenalan diri ini, ada warna tertentu untuk menunjukkan maktab jemaah itu.

“Ia boleh dilihat dari depan dan belakang oleh petugas TH,” katanya pada sidang media semalam.

Beliau berkata, lanyard berlainan warna mengikut maktab ini juga akan dipakai ketika jemaah berada di Arafah dan Mina.

Bagi jemaah yang pertama kali mengerjakan umrah sebaik tiba dari Madinah atau tanah air, mereka akan diberikan lanyard tambahan berlainan warna tertera zon maktab masing-masing.

“Jika ada jemaah tersasar atau tersesat, melalui lanyard itu pasukan petugas haji mudah mengenal pasti dan memberi bantuan perlu termasuk memberi pandu arah untuk jemaah pulang ke maktab,” katanya.

Beliau berkata, petugas haji melakukan rondaan 24 jam di Masjidilharam bagi mengawasi dan memantau keselamatan semua jemaah.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Disiarkan pada: July 11, 2019 @ 9:34pm
d