mutakhir

Api dapur sambar dinding bilik sewa

Oleh Nur Lela Zulkipli

SERAMAI 20 penghuni bilik sewa terselamat dalam kebakaran bangunan rumah kedai tiga tingkat di Jalan Nenas, Klang, malam ini.

Kejadian 7.30 malam itu membabitkan tiga unit rumah sewa di tingkat tiga dengan setiap satunya mempunyai enam bilik sewa.

Bagaimanapun, semua penghuni warga asing itu sempat menyelamatkan diri sebelum api marak.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.42 malam.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang bergegas ke lokasi kejadian bersama dua jentera.

“Setibanya di lokasi kejadian, api sedang marak di bahagian tingkat paling atas iaitu tingkat tiga bangunan rumah kedai itu.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk memadamkan kebakaran itu.

“Sehingga kini anggota masih lagi membuat kerja-kerja 'overhaul' di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Samsol Maarif berkata, ketika kejadian terdapat 20 penghuni yang masing-masing penyewa 18 bilik sewa di tingkat tiga bangunan berkenaan.

“Bangunan rumah kedai ini dijadikan bilik sewa oleh pemiliknya yang mana setiap satu unit mempunyai enam bilik sewa.

“Siasatan awal kami mendapati, kebakaran berpunca daripada api dapur dari salah satu unit bilik sewa yang kemudiannya menyambar struktur kayu yang dijadikan dinding bilik sewa lain,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan nilai kerugian.

Disiarkan pada: July 11, 2019 @ 11:17pm
d