mutakhir

Wang tunai RM20,000 nanti kaki pancing

Oleh Digital HM

KIRA-KIRA 1,000 kaki pancing dijangka menyertai Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) 2019 di Taman Tasik Ampang Hilir, Kuala Lumpur, Ahad ini.

Pertandingan memancing itu menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai RM20,000 dianjurkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd Nazam Harun berkata, aktiviti sihat bertemakan 'Jom Pancing, Rakyat Ceria, Komuniti Sejahtera' sentiasa dinantikan pemancing sambil beriadah bersama keluarga.

“Juara pertandingan ini akan membawa pulang RM6,000 diikuti RM2,000 untuk naib juara dan ketiga bakal memperoleh RM1,000.

“Pemenang keempat hingga ke-10 akan menerima RM200, pemenang tempat ke-11 hingga 80 menerima RM100 setiap seorang begitu juga tempat di 81 hingga ke 100 menerima RM50 setiap seorang.

“Tahun ini, DBKL turut menyediakan hadiah khas untuk pemenang ikan keli apabila juara menerima RM300, kedua RM200, ketiga hingga ke 7, RM100 dan tempat ke lapan hingga ke 10 menerima RM50,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melepaskan lebih satu tan ikan pelbagai spesies termasuk patin bersaiz antara empat hingga lima kilogram (kg) seekor di tasik berkenaan, hari ini.

Beliau berkata, hampir tujuh bulan tiada pertandingan di tasik berkenaan dan Ahad ini adalah kesempatan terbaik buat kaki pancing bertarung melawan ikan seperti patin, tongsan, rhu dan toman.

Menurutnya, yuran RM40 dikenakan untuk sebatang joran dan sebanyak 1,000 penyertaan awal layak menerima satu botol air saiz 1.5 liter sumbangan penaja.

Disiarkan pada: July 11, 2019 @ 11:42pm
d