mutakhir

Ribut jejaskan enam kampung

Oleh Safuri Kamarudin

SEKURANG-KURANGNYA 100 penduduk membabitkan lebih 20 rumah di enam kampung terjejas akibat ribut melanda Baling, petang semalam.

Hujan lebat dan angin kencang selama 30 minit mengakibatkan sebahagian rumah rosak teruk akibat dihempap pokok pada 6 petang.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, semua penghuni dilaporkan selamat dan tidak cedera.

Beliau berkata, kampung terjejas adalah Kampung Baru Dalam Wang, Sirako, Ambing, Banggol Petai, Keda Kemangi dan Kampung Tas.

“Kuarters guru Sekolah Kebangsaan (SK) Penghulu Abu Bakar turut terjejas akibat kejadian itu.

“Pasukan APM Baling sudah dikerahkan ke lokasi yang terjejas bagi memantau keadaan," katanya.

Kejadian itu turut mengakibatkan kesesakan trafik di beberapa jalan utama di Baling akibat pokok tumbang di tengah jalan.

Disiarkan pada: July 12, 2019 @ 1:10am
d