mutakhir

Mengemis beli dadah

Oleh Hadzlihady Hassan

GEORGETOWN: Minta sedekah untuk beli dadah. Itu dikesan dilakukan seorang bapa bersama anak lelakinya ketika ditahan polis dalam Op Tapis Khas di sekitar Jalan Masjid Kapitan Keling di sini, kelmarin.

Remaja berusia 13 tahun itu yang dipercayai tidak bersekolah sanggup mengikut bapanya berusia 40 tahun meraih simpati orang ramai mendapatkan wang secara mudah bagi membeli dadah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, dalam operasi bermula jam 6.30 hingga 11 pagi itu 14 individu ditahan.

“Mereka terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita berusia 13 hingga 56 tahun.

“Operasi dilakukan berikutan aduan orang ramai berhubung kegiatan penagih dadah yang meminta sedekah di kawasan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, lelaki berusia 40-an dikesan turut membawa anaknya yang berusia 13 tahun meminta sedekah dan pemeriksaan air kencing mendapati mereka positif methamphetamine.

“Kita juga menahan seorang lelaki dipercayai dalang yang mengedar dadah di kawasan berkenaan dan merampas heroin serta syabu.

“Polis akan terus menjalankan operasi bagi memastikan kawasan terbabit bebas dari sebarang aktiviti tidak sihat dan mencemarkan imej kerana ia kawasan tumpuan pelancong dalam dan luar negara,” katanya.

Disiarkan pada: July 12, 2019 @ 8:30am
d